Sunday, 28 September 2014

KEMASUKAN PELAJAR KE IPT SESI 2014/2015


Kemasukan pelajar ke IPT pada tiap tahun mengalami peningkatan dari tahun ke tahun. Ini menunjukkan bahawa pelajar di Malaysia mempunyai tahap kecemerlangan yang tinggi. YBhg. Dato’ Prof. Dr. Asma binti Ismail baru-baru ini telah mengumumkan bahawa kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi sesi 2014/2015 telah dimonopoli oleh golongan mahasiswi. Hal ini dianggap sebagai kelaziman kerana keadaan ini berlaku pada setiap sesi pendaftaran pelajar baharu ke IPT saban tahun.
Pada pandangan saya, kurangnya golongan mahasiswa di IPT adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah sukatan pelajaran yang diterapkan di IPT lebih tertumpu kepada sukatan teori sedangkan mahasiswa lebih berminat dengan sukatan pelajaran yang berbentuk praktikal. Manakala golongan mahasiswi pula lebih cemerlang dek kerana sifat rajin mereka dalam proses pembacaan, hafalan dan penelaahan tentang sesuatu subjek yang mereka pelajari. Ringkasnya, golongan mahasiswi lebih berminat dengan pendidikan yang berteraskan teori berbanding praktikal. Sehubungan dengan itu, program-program yang bersesuaian perlu disediakan kepada golongan mahasiswa di samping program motivasi bagi meningkatkan prestasi mereka seterusnya mewujudkan keadaan yang lebih seimbang. Selain itu, jumlah keseluruhan permohonan kemasukan ke IPT antara golongan mahasiswa dan mahasiswi pada sesi 2014/2015 adalah tidak seimbang iaitu kira-kira 23000 calon mahasiswa sementara lebih 51000 pula ialah calon mahasiswi. (Laporan daripada akhbar Utusan bertarikh 12 Ogos 2014).
Kesimpulannya,  semua pihak terutamanya pihak kerajaan perlu menggembleng tenaga dalam memikirkan cara atau langkah yang wajar diambil bagi memastikan jumlah kemasukan pelajar ke IPT bagi sesi-sesi yang berikutnya adalah seimbang dan seterusnya bagi mengelakkan kaum wanita mendominasi dalam sektor pekerjaan kelak.