Kemasukan pelajar ke IPT pada tiap tahun
mengalami peningkatan dari tahun ke tahun. Ini menunjukkan bahawa pelajar di
Malaysia mempunyai tahap kecemerlangan yang tinggi. YBhg. Dato’ Prof. Dr. Asma
binti Ismail baru-baru ini telah mengumumkan bahawa kemasukan pelajar ke
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi sesi 2014/2015 telah dimonopoli oleh
golongan mahasiswi. Hal ini dianggap sebagai kelaziman kerana keadaan ini
berlaku pada setiap sesi pendaftaran pelajar baharu ke IPT saban tahun.
Pada pandangan saya, kurangnya golongan
mahasiswa di IPT adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah
sukatan pelajaran yang diterapkan di IPT lebih tertumpu kepada sukatan teori
sedangkan mahasiswa lebih berminat dengan sukatan pelajaran yang berbentuk
praktikal. Manakala golongan mahasiswi pula lebih cemerlang dek kerana sifat
rajin mereka dalam proses pembacaan, hafalan dan penelaahan tentang sesuatu
subjek yang mereka pelajari. Ringkasnya, golongan mahasiswi lebih berminat
dengan pendidikan yang berteraskan teori berbanding praktikal. Sehubungan
dengan itu, program-program yang bersesuaian perlu disediakan kepada golongan
mahasiswa di samping program motivasi bagi meningkatkan prestasi mereka
seterusnya mewujudkan keadaan yang lebih seimbang. Selain itu, jumlah
keseluruhan permohonan kemasukan ke IPT antara golongan mahasiswa dan mahasiswi
pada sesi 2014/2015 adalah tidak seimbang iaitu kira-kira 23000 calon mahasiswa
sementara lebih 51000 pula ialah calon mahasiswi. (Laporan daripada akhbar Utusan
bertarikh 12 Ogos 2014).
Kesimpulannya, semua pihak terutamanya pihak kerajaan perlu
menggembleng tenaga dalam memikirkan cara atau langkah yang wajar diambil bagi
memastikan jumlah kemasukan pelajar ke IPT bagi sesi-sesi yang berikutnya
adalah seimbang dan seterusnya bagi mengelakkan kaum wanita mendominasi dalam
sektor pekerjaan kelak.
No comments:
Post a Comment