Sunday, 2 November 2014

JENAYAH KOLAR PUTIH



Jenayah kolar putih merupakan jenayah yang dilakukan oleh seseorang terhormat dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya. Jenayah kolar putih juga dikenali sebagai jenayah korporat.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jenayah kolar putih merujuk kepada perbuatan jenayah yang dilakukan oleh mereka yang bertugas dalam bidang pengurusan, dan jenayah ini biasanya dilakukan oleh mereka yang memiliki kedudukan penting dalam sesebuah organisasi. Sekiranya jenayah ini terus berleluasa maka ia akan menyebabkan pembangunan dalam negara terbantut. Hal ini kerana jenayah ini dilakukan oleh individu atau kumpulan yang profesional dan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Contoh jenayah kolar putih yang berlaku 9 Julai 2010, seorang ahli perniagaan telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah bertindak sebagai pengurus dana yang tidak berlesen yang melibatkan dana berjumlah RM65 juta tiga tahun lalu. Dia juga didapati bersalah atas tiga tuduhan pelaburan wang haram sebanyak RM1,339,324 dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun pada setiap pertuduhan. Malah jenayah ini turut melibatkan orang-orang ternama di Malaysia.
Langkah yang drastik perlu diambil bagi mengatasi jenayah kolar putih kerana ia memberi impak yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan jenayah konvensional seperti merompak, mencuri, peras ugut dan penipuan. Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini ialah penguatkuasaan undang-undang. Hukuman yang setimpal haruslah dikenakan kepada pesalah-pesalah jenayah kolar putih tanpa mengira status dalam menjatuhkan hukuman, sebagai contoh hukuman sebat. Selain itu, kawalan prosedur kerja perlu diperketatkan, sebagai contoh kuasa kelulusan tender atau lesen harus melalui pelbagai peringkat.
Kesimpulannya, masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan Negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan merupakan faktor penting dalam membanteras fenomena tersebut. 


MAHASISWA MINDA KELAS PERTAMA



Apakah yang dimaksudkan dengan mahasiswa minda kelas pertama? Mahasiswa minda kelas pertama secara ringkasnya ialah sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.  ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik. Inilah yang boleh dilabelkan sebagai agenda pembangunan tamadun dengan acuan imej tersendiri. Jauhkan diri kita dari sikap kelas minda ketiga iaitu malas bekerja, suka berlengah-lengah, tiada berhemat, membuang masa, leka dan sebagainya.
Untuk mempersiapkan diri mengambil bahagian dalam masyarakat dan misi negara, pembangunan modal insan bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan  yang dahulunya mungkin hanya dianggap sebagai suatu kemewahan. Minda kelas pertama adalah agenda jangka masa yang panjang yang memerlukan segenap usaha serta komitmen daripada setiap peringkat masyarakat. Oleh itu, untuk membina modal insan bermutu tinggi perlu bermula dengan mahasiswa yang berada di pusat  pengajian tinggi. Untuk melahirkan mahasiswa Minda Kelas Pertama tidak mudah. Oleh itu, sebagai mahasiswa perlu mempunyai strategi. Untuk menjadi seorang mahasiswa kelas pertama salah satunya aktiviti sukan. Sukan juga sebagai formula bagi mentranformasi minda mahasiswa ke arah yang mempunyai minda dan pemikiran kelas pertama. Selain itu, institusi pengajian tinggi memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran mesra ilmu. Universiti yang bertaraf antarabangsa dengan bangunan yang lengkap dengan kemudahan yang moden membantu membina minda kelas pertama.
Kesimpulannya, universiti dan mahasiswa perlu bekerjasama untuk melahirkan mahasiswa minda kelas pertama. Mahasiswa minda kelas pertama penting untuk pembangunan modal insan negara.