Sunday, 2 November 2014

JENAYAH KOLAR PUTIH



Jenayah kolar putih merupakan jenayah yang dilakukan oleh seseorang terhormat dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya. Jenayah kolar putih juga dikenali sebagai jenayah korporat.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jenayah kolar putih merujuk kepada perbuatan jenayah yang dilakukan oleh mereka yang bertugas dalam bidang pengurusan, dan jenayah ini biasanya dilakukan oleh mereka yang memiliki kedudukan penting dalam sesebuah organisasi. Sekiranya jenayah ini terus berleluasa maka ia akan menyebabkan pembangunan dalam negara terbantut. Hal ini kerana jenayah ini dilakukan oleh individu atau kumpulan yang profesional dan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Contoh jenayah kolar putih yang berlaku 9 Julai 2010, seorang ahli perniagaan telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah bertindak sebagai pengurus dana yang tidak berlesen yang melibatkan dana berjumlah RM65 juta tiga tahun lalu. Dia juga didapati bersalah atas tiga tuduhan pelaburan wang haram sebanyak RM1,339,324 dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun pada setiap pertuduhan. Malah jenayah ini turut melibatkan orang-orang ternama di Malaysia.
Langkah yang drastik perlu diambil bagi mengatasi jenayah kolar putih kerana ia memberi impak yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan jenayah konvensional seperti merompak, mencuri, peras ugut dan penipuan. Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini ialah penguatkuasaan undang-undang. Hukuman yang setimpal haruslah dikenakan kepada pesalah-pesalah jenayah kolar putih tanpa mengira status dalam menjatuhkan hukuman, sebagai contoh hukuman sebat. Selain itu, kawalan prosedur kerja perlu diperketatkan, sebagai contoh kuasa kelulusan tender atau lesen harus melalui pelbagai peringkat.
Kesimpulannya, masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan Negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan merupakan faktor penting dalam membanteras fenomena tersebut. 


No comments:

Post a Comment