Monday, 15 December 2014

Cabaran Generasi Y


Generasi Y ialah kelompak insan yang lahir antara tahun 1980 hingga 1999. Generasi Y merupakan generasi yang lahir ketika dunia kaya dengan ledakan maklumat dan juga teknologi. Oleh itu pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh remaja pada hari ini untuk menjadi modal insan kelas pertama. Antara cabarannya ialah cabaran ict, ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya dan juga sistem pendidikan yang diplomasi.
Remaja hari ini terdedah dengan teknologi maklumat yang cukup terbuka dan bebas. Para remaja boleh mengakses laman pornografi dengan begitu mudah tanpa sebarang halangan dan kesukaran. Begitu juga laman-laman sesawang yang boleh merosakkan akidah dan mencairkan jatidiri Islam seseorang remaja. Oleh sebab itu, para ibu bapa perlu mempunyai peraturan dan ketegasan dalam isu yang berkaitan penggunaan internet seperti penggunaan youtube, facebook, instalgram, whatsapps dan lain-lain. Kebebasan tanpa had dan batasan akan merosakkan minda dan otak remaja selain merosakkan jatidiri muslim seorang remaja.
            Kedua, kesibukan ibu bapa hari ini mengakibatkan pendidikan agama anak-anak terabai. Masa anak-anak banyak dihabiskan bersama pembantu rumah atau berada di hadapan televisyen tanpa batasan. Secara langsung keadaan mempengaruhi kehidupan anak-anak sehingga mereka memilih untuk menentukan cara hidup mereka sendiri. Kesibukan ini sekiranya tidak diimbangi dengan penekanan soal keagamaan dan kerohanian dalam diri anak-anak mengakibatkan anak-anak tidak tahu membezakan antara yang halal dan yang haram. Faktor kesibukan ibu bapa juga menjadi antara alasan kuat golongan remaja ini untuk keluar mencari keseronokan sendiri bersama kawan-kawan.
            Akhir sekali, cara mendidik remaja generasi Y hari ini amat berbeza dengan pendidikan generasi X dan sebelumnya. Remaja hari ini berhadapan dengan diplomasi pendidikan yang cukup tinggi sehingga menyebabkan para pendidik dan guru akan berhadapan dengan tindakan disiplin sekiranya mereka melakukan kekasaran kepada para pelajar. Berbeza dengan sistem pendidikan dahulu yang mengiktiraf penggunaan rotan dan hukuman kepada murid. Pada hari ini, kesalahan dan kenakalan murid hanya perlu diatasi dengan nasihat dan khidmat kaunseling. Sebahagian daripada kaedah ini tidak berjaya membentuk displin murid kearah lebih baik.
            Kesimpulannya, generasi Y perlu lebih berani dalam menghadapi cabaran dan rintangan untuk berjaya mengejar cita-cita mereka.

Sunday, 2 November 2014

JENAYAH KOLAR PUTIH



Jenayah kolar putih merupakan jenayah yang dilakukan oleh seseorang terhormat dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya. Jenayah kolar putih juga dikenali sebagai jenayah korporat.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jenayah kolar putih merujuk kepada perbuatan jenayah yang dilakukan oleh mereka yang bertugas dalam bidang pengurusan, dan jenayah ini biasanya dilakukan oleh mereka yang memiliki kedudukan penting dalam sesebuah organisasi. Sekiranya jenayah ini terus berleluasa maka ia akan menyebabkan pembangunan dalam negara terbantut. Hal ini kerana jenayah ini dilakukan oleh individu atau kumpulan yang profesional dan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Contoh jenayah kolar putih yang berlaku 9 Julai 2010, seorang ahli perniagaan telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah bertindak sebagai pengurus dana yang tidak berlesen yang melibatkan dana berjumlah RM65 juta tiga tahun lalu. Dia juga didapati bersalah atas tiga tuduhan pelaburan wang haram sebanyak RM1,339,324 dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun pada setiap pertuduhan. Malah jenayah ini turut melibatkan orang-orang ternama di Malaysia.
Langkah yang drastik perlu diambil bagi mengatasi jenayah kolar putih kerana ia memberi impak yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan jenayah konvensional seperti merompak, mencuri, peras ugut dan penipuan. Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini ialah penguatkuasaan undang-undang. Hukuman yang setimpal haruslah dikenakan kepada pesalah-pesalah jenayah kolar putih tanpa mengira status dalam menjatuhkan hukuman, sebagai contoh hukuman sebat. Selain itu, kawalan prosedur kerja perlu diperketatkan, sebagai contoh kuasa kelulusan tender atau lesen harus melalui pelbagai peringkat.
Kesimpulannya, masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan Negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan merupakan faktor penting dalam membanteras fenomena tersebut. 


MAHASISWA MINDA KELAS PERTAMA



Apakah yang dimaksudkan dengan mahasiswa minda kelas pertama? Mahasiswa minda kelas pertama secara ringkasnya ialah sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.  ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik. Inilah yang boleh dilabelkan sebagai agenda pembangunan tamadun dengan acuan imej tersendiri. Jauhkan diri kita dari sikap kelas minda ketiga iaitu malas bekerja, suka berlengah-lengah, tiada berhemat, membuang masa, leka dan sebagainya.
Untuk mempersiapkan diri mengambil bahagian dalam masyarakat dan misi negara, pembangunan modal insan bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan  yang dahulunya mungkin hanya dianggap sebagai suatu kemewahan. Minda kelas pertama adalah agenda jangka masa yang panjang yang memerlukan segenap usaha serta komitmen daripada setiap peringkat masyarakat. Oleh itu, untuk membina modal insan bermutu tinggi perlu bermula dengan mahasiswa yang berada di pusat  pengajian tinggi. Untuk melahirkan mahasiswa Minda Kelas Pertama tidak mudah. Oleh itu, sebagai mahasiswa perlu mempunyai strategi. Untuk menjadi seorang mahasiswa kelas pertama salah satunya aktiviti sukan. Sukan juga sebagai formula bagi mentranformasi minda mahasiswa ke arah yang mempunyai minda dan pemikiran kelas pertama. Selain itu, institusi pengajian tinggi memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran mesra ilmu. Universiti yang bertaraf antarabangsa dengan bangunan yang lengkap dengan kemudahan yang moden membantu membina minda kelas pertama.
Kesimpulannya, universiti dan mahasiswa perlu bekerjasama untuk melahirkan mahasiswa minda kelas pertama. Mahasiswa minda kelas pertama penting untuk pembangunan modal insan negara.



Sunday, 28 September 2014

KEMASUKAN PELAJAR KE IPT SESI 2014/2015


Kemasukan pelajar ke IPT pada tiap tahun mengalami peningkatan dari tahun ke tahun. Ini menunjukkan bahawa pelajar di Malaysia mempunyai tahap kecemerlangan yang tinggi. YBhg. Dato’ Prof. Dr. Asma binti Ismail baru-baru ini telah mengumumkan bahawa kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi sesi 2014/2015 telah dimonopoli oleh golongan mahasiswi. Hal ini dianggap sebagai kelaziman kerana keadaan ini berlaku pada setiap sesi pendaftaran pelajar baharu ke IPT saban tahun.
Pada pandangan saya, kurangnya golongan mahasiswa di IPT adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah sukatan pelajaran yang diterapkan di IPT lebih tertumpu kepada sukatan teori sedangkan mahasiswa lebih berminat dengan sukatan pelajaran yang berbentuk praktikal. Manakala golongan mahasiswi pula lebih cemerlang dek kerana sifat rajin mereka dalam proses pembacaan, hafalan dan penelaahan tentang sesuatu subjek yang mereka pelajari. Ringkasnya, golongan mahasiswi lebih berminat dengan pendidikan yang berteraskan teori berbanding praktikal. Sehubungan dengan itu, program-program yang bersesuaian perlu disediakan kepada golongan mahasiswa di samping program motivasi bagi meningkatkan prestasi mereka seterusnya mewujudkan keadaan yang lebih seimbang. Selain itu, jumlah keseluruhan permohonan kemasukan ke IPT antara golongan mahasiswa dan mahasiswi pada sesi 2014/2015 adalah tidak seimbang iaitu kira-kira 23000 calon mahasiswa sementara lebih 51000 pula ialah calon mahasiswi. (Laporan daripada akhbar Utusan bertarikh 12 Ogos 2014).
Kesimpulannya,  semua pihak terutamanya pihak kerajaan perlu menggembleng tenaga dalam memikirkan cara atau langkah yang wajar diambil bagi memastikan jumlah kemasukan pelajar ke IPT bagi sesi-sesi yang berikutnya adalah seimbang dan seterusnya bagi mengelakkan kaum wanita mendominasi dalam sektor pekerjaan kelak.